Bantu rakyat yang terkesan

SEHINGGA 14 Februari lalu, seramai 1,181,376 orang pengunjung direkodkan membanjiri Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di 775 lokasi seluruh negara dengan nilai jualan yang dicatatkan berjumlah lebih dari RM22.85 juta.

Malah sejak penganjurannya Disember tahun lalu, kira-kira 1.18 juta orang pengguna menjimatkan perbelanjaan antara RM2.29 juta hingga RM4.57 juta.

Penjimatan kos itu dikira berdasarkan potongan harga pelbagai barangan antara 10 peratus dan 20 peratus dengan nilaian keseluruhan jumlah jualan.

Sambutan luar biasa itu membuktikan permintaan rakyat ke atas program berkenaan sentiasa meningkat apatah lagi dengan nilai barangan jualan yang ditawarkan harga sangat berpatutan selain berkualiti.

Inisiatif kerajaan memperkenalkan PJKM terbukti sangat signifikan yang tentunya memberi kelegaan kepada rakyat khususnya golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Ramai yang memberikan maklum balas positif malah, mengakui PKJM benar-benar membantu menjimatkan perbelanjaan isi rumah terutama dalam situasi sukar pada ketika ini.

Penganjuran program ini juga membuktikan kerajaan sangat memahami keperluan rakyat untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga mampu dimiliki.

Malah, kesemua barangan mentah dan runcit yang ditawarkan dalam program PJKM juga memang boleh dikategorikan sebagai terbaik selain berupaya membantu ramai rakyat yang terkesan.

Melalui PJKM, orang ramai berpeluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga yang lebih murah antaranya sayur-sayuran, telur, ikan, minyak masak, gula, tepung, beras dan barangan siap proses.

Justeru tidak hairanlah jika ramai yang berharap program berkenaan diterus dan diperluaskan lagi pada hadapan dengan melibatkan penyertaan lebih ramai pemain industri runcit terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Pada masa yang sama, kejayaan program ini juga bergantung kepada kerjasama semua pihak termasuk pembekal dan pemborong yang rakan strategik melaksanakan program PJKM di seluruh negara.

Malah kerjasama erat antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dengan agensi lain juga menjadi pemangkin kelancaran penganjurannya sekali gus memastikan matlamat penganjurannya tercapai.

Bagaimanapun di sebalik semua itu, orang ramai perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang disediakan kerajaan itu untuk merancang pembelanjaan sekali gus menjadi pengguna yang bijak.

Dalam pada itu, segenap lapisan rakyat juga diingatkan supaya sentiasa mengetahui tanggungjawab dan menggunakan hak sebagai pengguna manakala peniaga pula perlu kekal beretika sejajar dengan semangat ‘Keluarga Malaysia.’

Sehubungan itu, terima kasih kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta rakan-rakan strategik yang terlibat secara langsung membantu menjayakan program ini.

Sudah tiba masanya kita berganding bahu saling bantu membantu antara satu sama lain bagi menyahut semangat Keluarga Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Akhirnya sokongan berterusan rakyat terhadap program ini amat penting kerana tidak mustahil boleh membantu kerajaan melaksanakan pelbagai perancangan dalam mengatasi isu kenaikan harga barangan sebagai langkah penyelesaian jangka panjang.

Suara Sarawak