Pasukan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) Sibu menyerahkan bantuan segera kepada mangsa kebakaran di Kampung Bahagia Jaya, Teku Sibu, pagi tadi.

KUCHING: Bantuan segera menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) diberikan kepada mangsa kebakaran membabitkan dua buah rumah di Kampung Bahagia Jaya, Teku Sibu.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata bantuan segera itu adalah berupa makanan kering, kelengkapan tidur dan peralatan dapur.

“Bantuan segera  ini adalah enam pek makanan kering (RM50 satu pek), enam set kelengkapan tidur (RM100 satu set) dan dua set peralatan dapur (RM700 satu set).

“Saya mengucapkan takziah kepada mangsa kebakaran, mudahan mereka tabah menghadapi musibah ini,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Dalam pada itu, Fatimah berkata akan menziarahi mangsa pada 18 Mac ini bagi menyampaikan bantuan tunai termasuk untuk bahan binaan.

Katanya bantuan tunai itu adalah berbentuk wang saku (RM100 seorang untuk tujuh orang mangsa), pakaian harian (RM200 seorang untuk tujuh orang mangsa), persekolahan (RM300 seorang untuk dua orang mangsa).

Manakala, beliau berkata bantuan bahan binaan adalah sebanyak RM5,000 bagi setiap keluarga (dua buah rumah).

“Bantuan tunai RM300 untuk mangsa terkorban juga akan diberikan oleh Tabung Bantuan Segera (TBS) di bawah JKMS kepada waris mangsa terkorban sebagai bantuan tambahan,” katanya.

Sementara, Fatimah berkata buat masa ini, kesemua mangsa yang selamat tinggal sementara di rumah saudara manakala mangsa yang terkorban diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Dalam kejadian yang dilaporkan kira-kira jam 8.15 malam tadi, tiga orang iaitu wanita warga emas, anak dan cucunya ditemukan rentung di dalam rumah yang musnah terbakar itu.

Mangsa yang rentung dikenal pasti sebagai Rasidah Suut, 80, Abdullah Bus, 64, dan Sima Abdullah, 20.

Manakala mangsa yang selamat ialah Nur Fazli Mahdi, 27, Taib Bus, 56, Mohd Zaini Taib, 25, Rafidah Bat, 44, NurHijrah Taib, 12 dan Nur Damia Taib, 8.

Suara Sarawak