KUCHING: Bekas pembantu jurujual di sebuah kedai serbaneka 24 jam dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Muhd Ikmal Haziq Kamarudin, 27, mengaku bersalah atas 10 pertuduhan pecah amanah yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad dan Hakim Maris Agan.

Mengikut kesemua pertuduhan, dia didapati telah mengeluarkan 10 keping baucar tambah nilai dengan jumlah keseluruhan RM1,260.

Selain itu, dia mengaku mengeluarkan baucar tersebut untuk kegunaan peribadi tanpa membuat perbayaran kepada pihak syarikat.

Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dengan melakukan perbuatan itu di sebuah kedai serbaneka 24 jam, ICOM Square di sini, secara berperingkat sekitar jam 4.12 pagi hingga 7.49 pagi, 6 Mac lepas.

Justeru, mahkamah memutuskan semua hukuman 10 pertuduhan dijalankan secara serentak.

Pendakwaan kes dikendalikan secara berasingan oleh tiga orang Timbalan Pendakwa Raya iaitu Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff, Md Syafique Md Hilmie dan Danial Mohamad Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh (baju putih) dibawa keluar dan akur dengan hukuman yag dikenakan.

Suara Sarawak