Gambar AFP

SETELAH dua tahun dalam pandemik, beberapa negara di seluruh dunia sudah memasuki fasa peralihan ke endemik. Negara kita pula mula memasuki fasa peralihan ini pada 1 April ini selepas keputusan dibuat berdasarkan pelbagai faktor.

Fasa peralihan ini bakal menjadi ‘exit strategy’ untuk membolehkan kita semua kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal selepas dua tahun berperang dengan Covid-19.

Langkah ini dibuat sebelum negara beralih kepada fasa endemik sepenuhnya yang tertakluk dengan pengumuman rasmi oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Februari lalu, negara Denmark, Sepanyol, United Kingdom sendiri telah melonggarkan sekatan pergerakan dan menekankan kepada masyarakat awam untuk belajar hidup dengan virus.

Sebahagian negara mula menerima hakikat bahawa koronavirus mungkin tidak akan hilang, mungkin terus menular selama bertahun-tahun atau mungkin untuk selama-lamanya.

Mahu tidak mahu, kita terpaksa terima hakikat, amalkan gaya hidup sihat untuk membolehkan kita melawan virus itu termasuk mengambil vaksin walaupun ia bukan jaminan kita tidak dijangkiti virus maut itu. Vaksin hanya mampu mengurangkan risiko jangkitan lebih serius, namun sesiapa sahaja masih terdedah kepada virus Covid-19.

Memang menyedihkan kerana tidak semua bernasib baik melawan virus ini, ada yang kecundang terutama golongan berisiko komorbid dan warga emas.

Semua ini menjadi cabaran dengan varian Omicron yang kini menjadi dominan dalam global. Menurut WHO, setengah juta kematian dengan lebih 130 juta kes direkodkan selepas Omicron diisytiharkan sebagai variasi membimbangkan pada akhir November tahun lalu.

Sejak itu, Omicron pantas mengatasi Delta sebagai varian Covid-19 yang menjadi dominan di dunia kerana ia mudah berjangkit walaupun menyebabkan penyakit kurang teruk. Omicron ini pertama kali ditemui di Afrika Selatan pada akhir November.

Gejala jangkitan kelihatan kurang teruk berbanding varian lain, manakala kajian awal menunjukkan bahawa gejala yang dialami oleh pesakit yang divaksinasi nampaknya lebih ringan berbanding dalam kalangan yang tidak divaksinasi. Namun, kadar kebolehjangkitannya sangat tinggi terbukti sebagai cabaran dengan penyebarannya menyebabkan tekanan ketara dalam sistem kesihatan, dengan banyak negara bergelut dengan kemasukan pesakit dalam hospital mereka.

Jadi adakah fasa Covid-19 akan beralih kepada penyakit endemik? Mana-mana peralihan yang berpotensi ia berbeza dari negara ke negara dan bergantung pada beberapa faktor. Contohnya sejauh mana penyakit itu merebak dalam sempadan negara dan tahap imuniti dalam populasi.

Pakar kesihatan dalam laporan media antarabangsa juga mengatakan salah satu petanda penyakit beralih kepada endemik ialah apabila sesuatu penyakit itu tidak menjejaskan kapasiti hospital. Apabila Covid-19 itu akhirnya hilang keupayaannya susulan imuniti kelompok, mungkin dunia beralih kepada fasa endemik tetapi ia bergantung dengan masa dan situasi masing-masing sesebuah negara tersebut.

Kesan sosioekonomi yang melampau mendorong pemimpin negara untuk mencari jalan realistik mengekalkan fleksibiliti untuk menyesuaikan diri apabila situasi berubah.

Kemungkinan manusia kekal menghadapi varian yang lebih menular, lebih ganas dan tidak bertindak balas terhadap vaksin semasa. Untuk menghadapi kemungkinan ini, negara dan komuniti memerlukan pilihan dengan mempunyai sumber yang baik serta teratur untuk hidup dengan Covid-19.

Namun, berjaya atau tidak, kita dalam fasa endemik semuanya terletak pada tangan kita sendiri. Semua langkah pencegahan dan usaha membendung penularan Covid-19 ini tetap bermula dengan diri kita. Disiplin diri, pematuhan berterusan kepada prosedur operasi standard (SOP), kawalan kendiri dan langkah peringatan harus menjadi elemen utama dalam menjalani kehidupan seharian.

Kita juga menyaksikan semula pelajar kembali ke sekolah yang membawa makna baharu walaupun ibu bapa dan penjaga mungkin berdepan dengan kebimbangan virus ini.

Namun begitu sekolah kini mesti mengimbangi keperluan pendidikan, sosial dan emosi pelajar mereka seiring dengan kesihatan dan keselamatan pelajar serta kakitangan sekolah.

Namun yang penting, kita tidak mahu lagi situasi sekejap buka sekolah sekejap tutup. Kita tidak mahu ramai pelajar tercicir dan gagal dalam akademik.

Diharap ibu bapa dan penjaga mengambil peranan masing-masing memastikan tahap kesihatan anak dengan baik sebelum ke sekolah. Jangan datang ke sekolah jika sakit bagi mengelak penularan virus, jadilah manusia yang bertanggungjawab.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak