Penyerahan cenderahati sebagai tanda kenangan kepada Datuk Mohd Naroden Majais (dua kanan) oleh Datuk Dr Wahbi Junaidi (kanan) disaksikan (kiri) Haluyah Awi dan Datuk Dr Sanib Said.

KUCHING: Kisah perjuangan Rosli Dhobi dan Rukun 13 dalam membela nasib Sarawak harus dihayati dan dijadikan contoh yang paling utuh untuk membentuk akhlak dan peribadi serta jati diri generasi muda hari ini.

Mantan Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Mohd Naroden Majais berkata semangat juang yang ada pada Rosli Dhobi dalam menjunjung maruah agama dan bangsa perlu ditiupkan ke dalam dada anak-anak dan belia pada hari ini.

“Rosli Dhobi dan Rukun 13 merupakan simbol keberanian dalam kalangan anak-anak muda dalam mempertahankan nusa dan bangsa daripada dibelenggu kuasa asing daripada menawan negeri tercinta.

“Semangat yang ada pada mereka telah menjadi asas kukuh bagi menggerakkan segenap tekad, kekuatan jasad, intektual, rohaniah dan kesiagaan untuk berkorban atas nama kemerdekaan ummah seperti tuntutan syariat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian SAMAceramah 2022, Syarahan Rosli Dhobi dan Rukun 13 bersempena Haul ke-72, di Dewan Seminar PUSAKA, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Perjuangan oleh tokoh tersebut merupakan satu bukti menunjukkan semangat cinta akan tanah air yang begitu teguh sehingga mengalir dalam darah dan sanubari para pejuang bangsa.

Justeru katanya, jangan anggap sejarah membebankan kerana mempelajari serta memahami ilmu sejarah pasti akan memperkuatkan akar jati diri masing-masing terutama sekali bagi golongan muda.

Suara Sarawak