KUCHING: Gara-gara memukul rakan baiknya hingga menyebabkan patah tangan, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara satu hari dan denda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Razlan, 36,mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Selain itu, mahkamah memutuskan sekiranya tertuduh gagal membayar denda, dia akan dipenjarakan selama empat bulan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana sengaja mencederakan mangsa Adrian Lim, 34, hingga menyebabkan kecederaan parah di sebuah rumah di Lorong BDC B1.

Menurut fakta kes, pada jam 1.30 petang, 20 Oktober 2021, pengadu yang merupakan pemilik sebuah kedai makan telah pergi ke rumah sewa sahabat baiknya (tertuduh) untuk bertanya tentang sejumlah wang dalam akaun pengadu yang telah hilang melalui pindahan secara dalam talian.

Tertuduh marah dan tidak mengakui mengambil wang itu serta terus keluar dari rumah dengan berjalan kaki.

Beberapa jam kemudian, tertuduh datang semula ke rumahnya dan memarahi mangsa kerana menuduhnya. Dia kemudian menumbuk pengadu di bahagian mata kanan dan kepala.

Pengadu yang mengalami cedera parah dengan patah tangan kiri akibat pergelutan tersebut kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak