MIRI: Sebagai sebuah wilayah yang mempunyai autonomi, Sarawak wajar diberikan kuasa khas untuk menyelesaikan isu kewarganegaraan di peringkat sendiri, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Sri Fatimah Abdullah.

Justeru itu, beliau memohon agar Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengetengahkan isu tersebut kepada Perdana Menteri.

“Pada ketika ini kita perlu menunggu keputusan Kementerian Dalam Negara (KDN). Namun kenyataan yang amat menyedihkan adalah sementara menunggu keputusan Menteri KDN, anak-anak ini ternafi daripada menerima atau menikmati hak kanak-kanak.

“Ia termasuk mendapat hak pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan dan peluang mendapat bantuan kebajikan,” katanya dalam ucapan sempena Sambutan Hari Wanita 2022 Peringkat Sarawak di sini, hari ini.

Tegasnya, hal ini sangat penting agar anak-anak yang terkesan kerana masalah status kewarganegaraan dapat menikmati hak asasi mereka, terutama dalam pendidikan.

Menurutnya, sejak penubuhan Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan yang diuruskan kementeriaanya dari tahun 2016 hingga 22 Oktober 2021 sebanyak 969 permohonan telah diterima.

“Bagaimanapun sehingga kini, hanya 253 telah dilulus dan selebihnya masih dalam pertimbangan.

“Oleh itu, amat penting untuk Sarawak diberikan kuasa menyelesaikan isu kewarganegaraan di peringkat wilayah kita sendiri,” ujarnya.

Suara Sarawak