Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom melihat pameran udang kara sempena Program Penternakan Udang Kara di Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.. Gambar Ramidi Subari

KUCHING: Sebanyak 1,400 ekor babi dimusnahkan selepas wabak Demam Babi Afrika (ASF) menular di beberapa ladang di wilayah tengah Sarawak sejak Februari lalu.

Menyifatkannya sebagai bencana, Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata wabak itu telah menjejaskan kira-kira lima ladang di Miri, Sibu dan Sarikei.

“Ladang-ladang yang dijangkiti ASF akan ditutup, dikuarantin dan semua babi di dalam ladang akan dimusnahkan dan bangkainya ditanam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Penternakan Udang Kara di Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Menurut Rundi, disebabkan oleh ASF, Sarawak pada masa ini hanya dapat mengeksport daging babi daripada kawasan penternakan babi di Pasir Puteh, Simunjan.

Justeru, katanya ladang berkenaan akan terus dilindungi agar bebas daripada wabak itu.

“Kita akan menyekat sesiapa sahaja daripada melawat ladang termasuk dari segi pergerakan haiwan kerana buat masa ini, eksport daging babi kita bergantung dari ladang itu,” katanya.

Dalam pada itu, Rundi berkata Jabatan Veterinar dan pihak berkuasa yang berkaitan sedang mengkaji Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam usaha menangani wabak ASF.

Katanya ia termasuk dari segi proses pemusnahan dan menanam bangkai babi yang dimusnahkan, bagi memastikan wabak berkenaan tidak menular.

Selain itu, beliau menegaskan kerjasama khususnya daripada pemburu, penternak babi dan seluruh masyarakat amat penting untuk mencegah dan membendung wabak itu.

Katanya walaupun tidak berbahaya kepada manusia, namun wabak yang menjangkiti babi itu telah membawa kerugian kepada ekonomi yang serius kepada penternak tempatan dan memberi kesan kepada keselamatan makanan.

Suara Sarawak