SEBUYAU: Terdapat persaingan dalam kalangan kontraktor untuk mendapatkan bahan binaan asas bagi projek pembinaan jambatan yang dilaksanakan di Sarawak. Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) Aidel Lariwoo berkata, perkara tersebut juga memberikan kesan kepada perkembangan projek termasuk pembinaan Jambatan Batang Lupar 1.

“Seperti yang kita tahu, semua jambatan besar yang dibina di negeri ini dari Jambatan Batang Rambungan hingga Jambatan Limbang (utara ke selatan Sarawak) dilaksanakan secara serentak ketika ini.

“Justeru, perkara ini juga menyebabkan kontraktor yang bertanggungjawab dalam projek jambatan tersebut bersaing sesama sendiri untuk mendapatkan bahan binaan asas, acuan kekal tiang jambatan dan sebagainya,” kata beliau.

Adun Sadong Jaya itu juga berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa program lawatan ke Jambatan Batang Lupar 1 di pejabat Batang Lupar di sini, pada Rabu.

Tambahnya, kemajuan projek tersebut setakat ini 3.4 peratus juga ketinggalan sebanyak 9.5 peratus daripada jadual asal penyiapannya. “Bahan binaan seperti permanent casing bersaiz 2.5 meter (yang paling besar) juga dijangka tiba menjelang Mei kelak.

“Selain itu, kelewatan tersebut juga sedikit sebanyak disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, tetapi kini puncanya lebih kepada bahan asas binaan,” ujarnya. Menjelas lanjut, Aidel memaklumkan bagaimanapun kelewatan itu juga tidak memberikan kesan kepada kos pembinaan projek Jambatan Batang Lupar 1.

“Tiada peningkatan kos untuk projek ini, ia masih mengikut apa yang ditetapkan dalam kontrak iaitu RM848.74 juta. Kos ini juga tidak melibatkan projek pembinaan Jambatan Batang Lupar 2 dekat Sri Aman. “Kita difahamkan sekarang ini semua kontraktor bersaing sesama sendiri kerana kita mendapati semua projek pembinaan jambatan di Sarawak dibina serentak,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kelewatan projek tersebut bukan sahaja dihadapi oleh projek Jambatan Batang Lupar 1 tetapi juga pembinaan jambatan yang lain di negeri ini.

“Kebanyakan kontraktor menghadapi masalah yang sama dari Jambatan Batang Rambungan, Jambatan Sejingkat dan lain-lain mereka ini juga bersaing untuk mendapatkan bahan binaan, operator dan pekerja. “Tetapi kita berharap selepas masuk ke fasa endemik, sempadan dapat dibuka dan pekerja juga akan dapat ditambah oleh kontraktor,” tegasnya.

Sehubungan itu, Aidel memberitahu situasi tersebut juga sama dengan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dan jalan pesisir – kontraktor projek tersebut juga bersaing untuk mendapatkan bahan binaan seperti batu dan sebagainya. “Hal tersebut juga kerana jika kita lihat, projek pembinaan jalan raya itu juga berjalan serentak di negeri ini,” katanya lagi.

Suara Sarawak