Bersedia hadapi kenaikan harga minyak

TULAR di laman sosial baru-baru ini perkongsian mengenai kenaikan harga runcit minyak petrol RON97 yang mencecah RM4 seliter.

Perkara tersebut juga menjadi bualan hangat di Facebook dan sebagainya, terutama dalam kalangan pengguna.

Ada juga antara mereka yang mengeluh kerana cabaran kos sara hidup ketika ini, kenaikan harga minyak sememangnya memberikan kesan kepada banyak perkara.

Bukan itu sahaja, minyak RON97 itu juga digelar sebagai “minyak kayangan” kerana harganya yang sangat tinggi bahkan ada juga dalam kalangan warganet yang mengatakan bahawa minyak itu hanya untuk “orang kaya” (orang yang berkemampuan).

Tidak cukup dengan itu, segelintir pihak juga mengaitkan kenaikan harga minyak tersebut dengan pengumuman kelulusan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM10,000 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang parlimen 16 Mac lalu.

Bagaimanapun, itu bukan isunya. Apa yang menjadi isu kepada masyarakat ketika ini adalah mereka berhadapan dengan pelbagai kenaikan harga barang.

Tetapi kebanyakan pengguna juga akur dengan kenaikan tersebut meskipun ia memberikan kesan kepada perbelanjaan mereka selepas ini.

Sehubungan itu, baru-baru ini Kementerian Kewangan (MOF) mengumunkan bahawa harga runcit petrol RON97 naik 25 sen seliter manakala harga RON95 dan diesel kekal bagi tempoh seminggu bermula 17 hingga 23 Mac.

Menurut MOF lagi, harga runcit baharu petrol RON97 naik daripada RM3.75 seliter kepada RM4.00 seliter.

Kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar telah meningkat melebihi paras harga siling.

Pada masa yang sama, MOF memaklumkan harga baharu itu berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

Umum mengetahui bahawa isu kenaikan harga minyak ini bukan isu baharu, bahkan bukan hanya berlaku di Malaysia semata-mata tetapi juga di seluruh dunia.

Ia juga sama seperti wabak yang tiada penawar kerana masih berterusan berlaku dan belum mempunyai penyelesaian.

Ada juga dalam kalangan masyarakat yang menganggap bahawa kenaikan harga minyak ini adalah perkara biasa yang berlaku dalam pasaran dunia.

Tetapi ramai juga yang kurang senang dengan kenaikan yang mendadak atau mencanak tinggi.

Dalam hal berkaitan, memetik laporan berita nasional White House juga memberi amaran kepada rakyat di Washington bahawa kenaikan harga sumber bahan api bakal berlaku susulan peperangan Ukraine dan Rusia.

Timbalan Penasihat Keselamatan Kebangsaan AS bagi Ekonomi Antarabangsa Daleep Singh berkata, beliau cuma berharap harga sumber bahan api itu akan turun dari semasa ke semasa.

Terdapat beberapa tindakan yang boleh dilakukan (oleh negara pengguna) dengan strategi bekalan mereka dan ada langkah yang boleh diambil oleh pengeluar untuk memastikan bekalan sentiasa ada.

Katanya lagi, ketika ini harga minyak dunia melonjak melepasi paras AS$100 (RM419) setong untuk kali pertama dalam tempoh tujuh tahun, selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin mengumumkan operasi ketenteraan di Ukraine. Harga minyak mentah Brent meningkat kepada AS$100,4 (RM421) setong selepas pengumuman tersebut yang secara tidak langsung mencetuskan kebimbangan kepada golongan pelabur.

Selain itu, rakyat Britain juga diingatkan supaya bersedia dengan peningkatan harga minyak yang boleh mencecah sehingga 1.70 pound (RM9.60) seliter dan ancaman serangan siber oleh Rusia kerana menyokong Ukraine.

Baru-baru ini juga AirAsia Malaysia mengumumkan bahawa pihaknya akan mengenakan semula surcaj bahan api mulai 8 Mac 2022 bagi semua penerbangan domestik dan antarabangsanya.

Menurutnya, pengenalan semula surcaj bahan api oleh AirAsia adalah untuk mengimbangi kenaikan harga bahan api yang telah melepasi AS$120 setong.

Apakah yang akan berlaku selepas ini? Adakah rakyat bakal menyaksikan minyak turun harga atau sebaliknya?

Adakah rakyat perku bersedia menghadapi kemungkinan minyak naik harga lagi?

Tepuk dada, tanya selera.

Suara Sarawak