KUCHING: “Selepas dijangkiti Covid-19, kini saya sedar betapa rapuh dan berharganya hidup ini,” kata Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing.

Menurutnya yang disahkan dijangkiti wabak tersebut pada 20 Februari lalu, walaupun mungkin masyarakat menganggap varian Omicron tidak memberikan kesan jangkitan serius tetapi beliau merasai kelainan selepas beberapa hari dijangkiti.

“Saya berasa tidak selesa, ia bukan seperti selsema biasa. Pelbagai gejala dialami membuatkan saya berasa mudah letih. Namun, saya tetap bersyukur kerana berada di bawah penjagaan rapi kakitangan perubatan.

“Keadaan saya kini beransur pulih dan stabil serta dapat menjalani kehidupan normal semula,” katanya berkongsi pengalaman dijangkiti Covid-19 di Facebooknya, hari ini.

Tiong yang juga Adun Dudong memberitahu, walaupun sudah pulih dan selesai menjalani kuarantin, namun perasaannya tetap bercambur-baur.

“Saya dimaklumkan kes di Bintulu meningkat berpunca daripada aktiviti sosial seperti majlis makan malam dan sebagainya. Nampaknya orang ramai tidak lagi berwaspada terhadap ancaman wabak ini seperti dua tahun lalu.

“Saya amat berharap agar ramai yang tidak mengambil ringan dan menutup mata dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kerana Covid-19 benar-benar wujud,” ujarnya.

Tegasnya, walaupun SOP semakin dilonggarkan dan rakyat sudah menerima vaksin dos penggalak, ia tidak bermakna kebal daripada jangkitan.

Suara Sarawak