Yayasan Sarawak sedia MEMBANTU RAKYAT Sarawak yang ingin melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dengan biasiswa atau pinjaman pelajaran.

YAYASAN Sarawak sedia membantu rakyat Sarawak yang ingin melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dengan biasiswa atau pinjaman pelajaran.

Antara skim yang boleh dimohon oleh pelajar ialah Biasiswa Tun Taib Yayasan Sarawak, Biasiswa Tunku Abdul Rahman Yayasan Sarawak (YBSTAR), Biasiswa Pinjaman Pelajaran (Dalam Negara), Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Sarawak (HiED) dan Bantuan Awal Kemasukan ke IPT.

Dari 2017 hingga 2022, seramai 455 pelajar UTS mendapat manfaat daripada pinjaman biasiswa Yayasan Sarawak.

Sementara itu, seramai 262 pelajar mendapat manfaat daripada skim biasiswa penuh, dengan 220 daripada mereka menerima bantuan bawah skim bursari BP40.

UTS juga dikenali sebagai Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS), merupakan salah satu anak syarikat Yayasan Sarawak yang diuruskan oleh Edusar Holding Sdn. Bhd sebagai badan yang menguruskan pentadbiran universiti tersebut.

Baru-baru ini, UTS mengadakan Majlis Konvokesyen Keenam pada 5 Mac lalu, yang juga julung kali diadakan di bawah nama Universiti Teknologi Sarawak selepas dinaik taraf kepada universiti penuh pada 8 November 2021.

Tahniah kepada 387 graduan termasuk dua graduan Kedoktoran Falsafah dalam Pengurusan Perniagaan yang menerima skrol mereka pada majlis konvokesyen tahun ini, yang turut dihadiri Canselor UTS, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Yayasan Sarawak mengucapkan tahniah kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas pelantikannya sebagai Pro-Canselor UTS.

Pengumuman dibuat oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Pengerusi, Lembaga Pengelola UTS, Dr Annuar Rapaee semasa berucap pada majlis konvokesyen tersebut.

Penubuhan Universiti Teknologi Sarawak diharap dapat melahirkan lebih ramai golongan terpelajar di Sarawak, selain mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak khususnya di wilayah tengah negeri ini.

Suara Sarawak