KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Jabatan Muzium Sarawak sedang berusaha merealisasikan misi untuk membina dan menaik taraf lebih banyak muzium di negeri ini.

Menterinya Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkara tersebut kerana Sarawak memiliki banyak khazanah yang mempunyai nilai pelancongan tinggi.

Menurutnya, kerja-kerja sedang dijalankan untuk menentukan pameran (zaman penjajah) di kubu di Sarawak yang diwartakan sebagai bangunan warisan.

“Kementerian dan jabatan bekerjasama membangunkan muzium kecil di seluruh Sarawak.

Untuk kompleks muzium di Kuching, kerja muzium lama kita telah siap tetapi kandungannya (paparan) sedang dalam proses.

“Kita tunggu peruntukan diluluskan (supaya artifak boleh dipamerkan). Ia mungkin akan mengambil masa lebih setahun untuk jabatan tersebut mengatur dan mengurus, tetapi apabila siap ia akan menjadi sebahagian daripada kompleks muzium,” katanya ketika ditemu bual Suara Sarawak.

Tambahnya, pengunjung juga boleh mengadakan lawatan ke muzium iaitu bermula dengan muzium lama dan bergerak ke Muzium Budaya Borneo baharu dan Muzium Warisan Islam yang berhampiran serta Muzium Cina.

“Antara lain, kita juga sedang membangunkan Brooke Dockyard sebagai muzium maritim dan kita mahu menubuhkan galeri seni di bangunan Majlis Perbandaran Kuching (KMC) yang sebelum ini terletak berhadapan dengan Balai Polis Pusat.

“Bau juga merupakan satu lagi kawasan yang ingin kami bangunkan muzium lombong emas kerana sejarah perlombongan emasnya yang kaya. Untuk membuat pengunjung tinggal lebih lama (di Sarawak), mereka boleh melawat tempat-tempat seperti Mulu dan Niah di Miri,” ujarnya.

Abdul Karim memberitahu, pengunjung juga boleh berehat dan menikmati persembahan kebudayaan secara langsung apabila bangunan lama Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak dijadikan pusat persembahan seni.

“Ini sebahagian daripada usaha untuk menjadikan Kuching ‘bandar berjiwa’ seperti yang dibayangkan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

“Idea ini datang daripada beliau semasa menjadi Ketua Menteri dan ia diturunkan kepada Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (Premier Sarawak). Saya juga sebahagian daripada proses berterusan dalam memberi idea.

“Idea ini mungkin dicapai semasa saya atau sesiapa sahaja yang akan mewarisi portfolio, untuk meneruskannya kelak,” tegas beliau.

Suara Sarawak