Seekor anak kucing yang berjaya diselamatkan oleh anggota BBP Bintangor.

BINTANGOR : Khidmat anggota bomba terpaksa digunakan untuk menyelamatkan seekor anak kucing yang terperangkap di dalam saluran paip di pasar tamu Bintangor, pagi tadi.
Penolong Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor Nicholas Belulin berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 8.36 pagi.

Setibanya di lokasi katanya, didapati haiwan terbabit gagal keluar selepas keseluruhan badannya terperangkap di dalam saluran paip berkenaan.

“Kejadian ini disedari oleh orang awam selepas terdengar bunyi kucing dan kemudiannya meninjau lokasi itu sebelum ternampak ada anak kucing di dalamnya.

“Mereka cuba membantu mengeluarkan haiwan tersebut namun gagal sebelum menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, anggota kemudian menggunakan peralatan khas sebelum berjaya mengeluarkan haiwan itu.

Menurutnya, operasi mengeluarkan haiwan tersebut mengambil masa kira-kira tujuh minit dan tamat sepenuhnya pada jam 8.47 pagi.

“Keadaannya agak lemah tetapi tidak mengalami sebarang kecederaan. Ia kemudiannya diserahkan kepada pemiliknya di lokasi kejadian,” katanya.

Suara Sarawak