MAJORITI masyarakat hari ini memiliki dan membela haiwan peliharaan seperti kucing atau anjing.

Ciri-ciri haiwan peliharaan yang paling digemari ialah haiwan yang setia, suka bermain, menarik perhatian dan comel.

Tambahan pula, haiwan kesayangan itu akan sentiasa menjadi teman setia kepada si pemilik sama ada semasa susah, senang, sedih, gembira bahkan mampu membuang rasa sunyi.

Justeru, tahukah anda membela haiwan peliharaan di rumah banyak manfaatnya?

Dari segi kesihatan, ia menggalakkan si pemilik keluar untuk beriadah dan bersosial kerana lumrah haiwan memang aktif bermain secara langsung mempengaruhi gaya hidup si pemilik untuk kekal aktif.

Selain itu, haiwan peliharaan juga memberi sokongan sosial kepada tuannya selain memupuk rasa bertanggungjawab.

Namun demikian, ada sesetengah orang suka pelihara haiwan eksotik.

Haiwan eksotik merupakan haiwan yang sukar ditemui dan jarang dibela sebagai binatang peliharaan di rumah.

Dalam bahasa mudahnya, haiwan ini selalunya dikategorikan sebagai haiwan liar, bukan haiwan domestik.

Bagaimanapun, minat untuk membela haiwan demikian semakin meningkat dalam kalangan masyarakat kerana keunikannya dikatakan memberi kepuasan dan kemegahan kepada si pemilik.

Disebabkan itu, ada orang sanggup membela haiwan eksotik atau spesies hidupan liar terlindung ini tanpa lesen.

Di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 Akta 716, terdapat dua tahap perlindungan hidupan liar yang disenaraikan iaitu Jadual Pertama ialah senarai spesies hidupan liar yang dilindungi manakala Jadual Kedua ialah senarai spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya.

Sebelum memasang niat untuk membela haiwan eksotik, alangkah molek semak dahulu sama ada haiwan berkenaan boleh dibela atau tidak.

Bukan semua haiwan itu boleh dipelihara kerana ada haiwan ini dikategorikan sebagai haiwan terlindung atau haiwan terancam.

Membelanya tanpa permit akan membawa padah. Tetapi mungkin didorong kerana sifat tamak dalam diri, membayangkan kekayaan yang bakal dimiliki atau hobi, ada orang sanggup memelihara haiwan liar atau eksotik tanpa lesen, bahkan ia dibunuh untuk mengambil bahagian tertentu anggota badannya.

Jika anda masih ingat, pada Januari lalu seorang lelaki di Sibu dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM28.2 juta kerana memiliki pelbagai jenis burung dan hidupan liar termasuk 28,181 sisik tenggiling.

Di Miri pula, warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara satu tahun dan denda RM50.85 juta kerana memiliki 5,058 sisik tenggiling.

Manakala di Bintulu, dua lelaki dari Pulau Pinang masing-masing dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM1.46 juta apabila didapati bersalah memiliki 146 tenggiling.

Kes terbaru, seorang pengarah sebuah syarikat akan dibicara di Mahkamah Sesyen Sibu pada 7 April ini atas pertuduhan memiliki pelbagai haiwan dilindungi tanpa kebenaran.

Dia didakwa memiliki burung merpati batu, burung helang, burung enggang, penyu, landak, tupai pokok, buaya, myna bukit, beruang matahari, kucing beruang, kera ekor babi, kera ekor panjang dan bali myna.

Melihat senario ini, hukuman berat sehingga berjuta-juta ringgit dikenakan kepada individu yang terlibat dalam beberapa kes sebelum ini seolah-olah dipandang enteng oleh sesetengah pihak.

Mengapa tangkapan, dakwaan dan hukuman tidak lagi ditakuti?

Adakah penguatkuasaan dan kempen kesedaran yang dilakukan tidak berkesan?

Golongan ini sanggup berhabis dan melanggar undang-undang demi memenuhi minat dan mengaut keuntungan.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim mendedahkan, spesies haiwan eksotik yang sering mendapat permintaan ialah pelbagai baik daripada spesies burung sehinggalah kepada kumpulan reptilia dan mamalia tertentu.

Dakwaan beliau bahawa memelihara hidupan liar atau jenis eksotik sebagai haiwan kesayangan dilihat satu gaya hidup atau trend dalam kalangan masyarakat kini, mungkin benar.

Keadaan menjadi rumit apabila ada peniaga haiwan eksotik yang tidak sah dalam pasaran yang menjual haiwan terlindung ini.

Dalam hal ini selagi ada permintaan pasaran, haiwan-haiwan malang ini akan terus diburu, dikeluarkan dari habitat asal atau lebih dahsyat dibunuh kerana mitos yang berkaitannya!

Maka, cadangan yang pernah diutarakan oleh Pengarah Zoologi dan Veterinar Zoo Negara, Dr Mat Naim Ramli supaya hukuman mati atau penjara seumur hidup diperkenalkan bagi mereka yang didapati bersalah memburu harimau secara haram, dengan mencontohi pendekatan China yang mempunyai dasar toleransi sifar terhadap pemburuan beruang panda, wajar kita fikirkan bersama.

Mungkin hukuman sedemikian dapat menghentikan pemburuan haiwan-haiwan malang itu.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak