KUCHING: Orang ramai kini boleh berkunjung di Taman Negara Gading bagi menyaksikan bunga Rafflesia kedua yang sedang mekar.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) hari ini, pelawat boleh mula berkunjung bermula 13 Mac sehingga 18 Mac ini.

Katanya, bunga Rafflesia yang dikenali sebagai Rafflesia Tuan-Mudae itu kini mekar dengan lima kelopak serta bersaiz 55cm diameter.

“Bagi pengunjung yang ingin melihat kecantikan bunga pakma ini, pengunjung perlu berjalan kaki selama 10 minit, iaitu kira 250 meter dari pejabat utama Taman Negara Gunung Gading Lundu dan ditemani oleh pemandu taman.

“Pengunjung juga disarankan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang menikmati pemandangan di taman negara ini,” ujarnya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi pejabat utama Taman Negara Gunung Gading Lundu di talian 082-735144.

Suara Sarawak