Calon SPM positif, kuarantin duduki peperiksaan bulan depan

KUCHING: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Sarawak yang disahkan positif Covid-19 akan diberi peluang menduduki peperiksaan tersebut pada tarikh yang akan ditetapkan bulan depan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Dr Norisah Suhaili berkata, ia termasuk calon yang merupakan kontak rapat dan sedang menjalani kuarantin.

“Bagi Sekolah Menengah St Joseph, seramai tiga orang pelajar tidak dapat menduduki ujian SPM pada minggu pertama ini kerana positif Covid-19.

“Namun mereka dijangka akan mengambil peperiksaan tersebut pada bulan April depan dan sudah tentu soalan yang dikeluarkan untuk set kertas SPM tersebut berbeza daripada yang dikeluarkan sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas SPM, di SMK St Joseph, di sini, hari ini

Tambahnya, ia bukan kali pertama kerana kes seumpamanya pernah berlaku pada peperiksaan SPM tahun lalu.

“Tindakan ini adalah bagi mengekang penularan wabak,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu bahawa tiga pelajar terbabit hanya ketinggalan untuk menduduki kertas Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Jelasnya, pelajar tersebut akan dibenarkan untuk menduduki ujian lain pada hari berikutnya sekiranya mereka dalam keadaan yang lebih baik.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Dr Norisah Suhaili ketika sidang media berasama wartawan

 

PERSEDIAAN… Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Dr Norisah Suhaili memberi sedikit taklimat kepada pelajar di Stadium Datuk Polycarp Sim, St Joseph

Suara Sarawak