KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mengisytiharkan satu lagi kluster baharu hari ini, iaitu Kluster Jalan Taiton, Bau.

Katanya, ia merupakan kluster institusi yang melibatkan pelatih, fasilitator dan kakitangan sebuah akademi latihan kerajaan yang terletak di Jalan Taiton, Bau.

“Indeks kes merupakan seorang lelaki warganegara tempatan yang juga fasilitator akademi tersebut, telah dikesan positif saringan kendiri ujian air liur pada 13 Mac 2022.

“Jangkitan dipercayai berpunca daripada komuniti dan merebak di dalam institusi berkenaan melalui pergaulan rapat dalam kalangan mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

JPBN menambah, daripada 139 individu yang disaring, 75 orang didapati positif dan kesemua mereka ditempatkan di CAC di Daerah Bau dan pusat kuarantin di akademi tersebut.

Dalam pada itu, JPBN berkata, kadar jangkitan kes harian Covid-19 di Sarawak terus menunjukkan penurunan apabila sebanyak 1,177 kes dilaporkan hari ini berbanding 1,316 semalam sekali gus menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 286,995.

Tambah JPBN, sebanyak tiga kes kematian dilaporkan pada 17 Mac 2022 dengan kesemua mangsa merupakan warga emas berusia 79 hingga 82 tahun.

JPBN dalam kenyataan sama melaporkan tiada kluster ditamatkan.

Suara Sarawak