Covid-19: Kluster baharu libatkan pelajar asrama, 1,745 kes positif

KUCHING: Satu lagi kluster baharu Covid-19 diisytiharkan di Sarawak hari ini iaitu Kluster Jalan Batu Kaya, Lubok Antu yang melibatkan pelajar asrama di daerah tersebut.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, perebakan jangkitan dipercayai berpunca daripada pergaulan dan kontak rapat dalam kalangan pelajar di asrama berkenaan.

“Kes indeks bagi kluster ini merupakan seorang pelajar lelaki berusia 17, yang dikesan positif pada 8 Mac menerusi saringan individu bergejala.

“Setakat ini seramai 79 individu disaring, didapati 28 orang positif manakala 51 lagi negatif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, JPBN memberitahu Sarawak hari ini merekodkan sebanyak 1,745 kes baharu, menjadikan jumlah kulmulatif meningkat kepada 275, 850 kes.

Jelas kenyataan itu, kategori klinikal 2 tertinggi dengan mencatat sebanyak 961 kes, diikuti kategori 1 sebanyak 762 kes, kategori 4 sebanyak 18 kes, kategori 5 sebanyak tiga kes dan kategori 3 hanya satu kes.

“Bagi pecahan kes, Daerah Kuching tertinggi iaitu sebanyak 776 kes, diikuti Miri (197), Sibu (170), Bintulu (100), Serian (84), Samarahan (62), Bau (43), Sarikei (42), Kanowit (24), Sri Aman (23), Betong (20), Matu (19), Limbang (19), Mukah (18), Meradong (15), Kabong (13), Saratok (13), Simunjan (13), Daro (11) dan Marudi (11).

“Lawas merekodkan sebanyak 10 kes, diikuti Dalat sembilan kes, Pusa dan Lundu dan masing-masing tujuh kes, Subis dan Asajaya enam kes, Kapit (5), Telang Usan (4), Pakan (4), Lubok Antu (3), Beluru, Tatau, Selangau, Song dan Tebedu masing-masing dua kes diikuti Tanjung Manis satu kes,” kata kenyataan itu.

Tambah JPBN, Sarawak merekodkan dua kes melibatkan dua wanita warga emas masing-masing berusia 89 tahun di sibu dan 78 di Hospital Limbang dan Hospital Sibu.

Suara Sarawak