Foto Mohd Alif Noni

KUCHING: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah bernilai RM1.19 juta dalam serbuan berasingan pada 26 Januari lepas.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 12 kilogram dan ketamin seberat 13 kilogram.

Katanya, rampasan tersebut merupakan rampasan yang terbesar setakat Februari tahun ini dan dadah yang diseludup dari Semenanjung Malaysia tersebut mampu menampung seramai 25,634 orang untuk pasaran di daerah ini.

Beliau berkata, seorang lelaki tempatan berumur 27 tahun ditangkap di sebuah kedai makan di Jalan Penrissen kira-kira jam 1.30 tengah hari dalam serbuan pertama.

“Semasa serbuan, suspek didapati sedang memegang satu kotak berlabel sebuah syarikat perkhidmatan kurier.

“Hasil pemeriksaan ke atas kotak itu didapati mengandungi enam bungkusan bertulis Ecological Rice Zhen Phin berisi dadah jenis syabu dengan berat kasar 6 kilogram,” katanya dalam sidang media di IPK Sarawak, di sini hari ini.

Mancha menambah susulan penangkapan suspek, pasukan operasi telah pergi ke sebuah syarikat perkhidmatan kurier di Jalan Tun Ahmad Zaidi Edruce untuk mengambil satu lagi bungkusan kotak berlabel sebuah syarikat penghantaran.

Katanya, pemeriksaan terhadap kotak itu turut mengandungi enam bungkusan bertulis Ecological Rice Zhen Phin berisi dadah jenis syabu dengan berat kasar 6 kilogram.

Susulan itu, beliau berkata, pada serbuan ketiga, pasukan operasi menyerbu sebuah rumah di Kampung Bumbok, Jalan Batu Kitang dan menjumpai satu kotak dalam almari baju di bilik tidur.

“Hasil pemeriksaan ke atas kotak tersebut mengandungi 13 bungkusan bertulis ‘Tie Guan Yin’ berisi dadah jenis ketamin yang dianggarkan seberat lebih 13 kilogram.

“Selain itu, turut ditemui satu bekas tin bertulis Arowana Carnivorous Pallet mengandungi satu paket plastik berisi dadah jenis syabu dengan berat kasar dianggarkan 664 gram,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menyita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) bernilai RM30,000 dan sebuah motosikal bernilai RM8,000.

Katanya, suspek tidak mempunyai kesalahan lampau dan saringan air kencing suspek didapati negatif dadah.

Tambahnya, suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 5 Mac ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suara Sarawak