Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini hari ini oleh anggota polis.

KUCHING: Seorang lelaki tempatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan menipu sebuah syarikat pinjaman wang berlesen dalam urusan pinjaman wang berjumlah RM5,000 pada Disember dua tahun lalu.

Tertuduh Jonathan Tibu Abit, 24, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu sebuah syarikat pinjaman wang berlesen semasa memohon membuat pinjaman dengan memalsukan slip gaji dan pekerjaan tetap.

Pemalsuan dokumen itu menyebabkan syarikat berkenaan meluluskan pinjaman tertuduh sebanyak RM5,000.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah syarikat pinjaman wang berlesen di Jalan Sekama, 1 Disember 2020.

Pendakwaan kes mengikut Seksyen 420 Kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah memutuskan sebutan semula bagi pengurusan kes pada 19 April depan.

Suara Sarawak