KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Sim Kui Hian disahkan positif Covid-19.

Menurutnya, keputusan itu diperoleh menerusi ujian saringan rT-PCR yang diambil sebelum perjalanan rasmi ke luar negara.

Menyifatkan keputusan tersebut sebagai “mengejutkan”, Dr Sim berkata beliau tidak menunjukkan sebarang simptom jangkitan dan ujian kendirinya pada setiap pagi juga negatif.

“Saya sentiasa menggunakan dua lapis pelitup muka, kerap mencuci tangan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk membendung penularan Covid-19.

“Ini menunjukkan betapa mudahnyanya Omicron ini berjangkit dan sukar untuk melawannya,” katanya dalam catatan di Facebooknya, lewat malam tadi.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menambah, beliau sudah melaporkan kesnya melalui MySejahtera dan kini melakukan kuarantin kendiri.

“Saya juga akan memantau diri selama tujuh hari mengikut SOP terkini Kementerian Kesihatan (KKM),” tambahnya sambil meminta maaf kepada orang ramai yang berhubung dengan beliau beberapa hari lalu.

Suara Sarawak