Bot nelayan asing ditahan kelmarin kerana menceroboh perairan negara dan menangkap ilan secara tunda gading tanpa permit yang sah.

KUCHING: Dua bot nelayan asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kelmarin kerana menceroboh perairan negara dan menangkap ikan secara tunda gading tanpa permit yang sah.

Pengarah Maritim Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata bot nelayan berkenaan ditahan pada jarak jarak lebih kurang 120 batu nautika dari Tenggara Tanjung Sirik.

Katanya, tangkapan pertama dikesan Kapal Maritim (KM) Arau pada jam 6.30 pagi ketika sedang membuat rondaan di sekitar perairan Beting Patinggi Ali.

“KM Arau terus mengejar bot tersebut dengan mengambil masa hampir empat jam untuk memintas dan berjaya menahan setelah dihimpit rapat.

“Manakala bot kedua pula dikesan sekitar jam 11.30 pagi dan KM Arau telah mengambil masa hampir satu jam sebelum berjaya menahan bot kedua,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan struktur fizikal kedua-dua bot tersebut, ianya disyaki bot nelayan asing Vietnam

Sementara katanya, seramai 33 kru termasuk tekong warga Vietnam berumur dalam lingkungan 19 hingga 60 tahun gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa.

Kru nelayan asing yang mengendalikan bot berkenaan turut ditahan Maritim Malaysia.

Beliau memberitahu, pemeriksaan dan geledah mendapati bot tersebut tidak memiliki sebarang dokumen serta lesen dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk melakukan sebarang aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

Katanya, peralatan menangkap ikan, bekalan diesel lebih kurang 22,000 liter serta hasil tangkapan sekitar 30 tan ikan campur turut dirampas.

“Keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai RM2.5 juta.

“Bot dan kesemua kru diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Jeti APMM KOMTAS, Muara Tebas untuk siasatan lanjut,” jelasnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, kerana tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah untuk menangkap ikan di perairan negara dan pesalah boleh dihukum denda sehingga RM6 juta kepada tekong, manakala kru boleh didenda RM600,000 setiap seorang serta vesel tersebut boleh dilucut hak.

Tambahnya, tekong dan kesemua kru turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, kesemua kru akan menjalani ujian saringan Covid-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga setiba di jeti.

Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut dan amat mengalu-alukan maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak 082-432544/ 432006 yang beroperasi 24 jam.

Suara Sarawak