KUCHING: Dua lelaki aktif dalam kegiatan menyamun kedai serbaneka 24 jam di sekitar daerah ini, diberkas polis pada kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, kedua-dua suspek yang berumur 22 dan 25 tahun ditahan oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching.

Katanya, suspek telah menyamun dan melarikan dua botol minuman arak dari sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Sultan Tengah, di sini pada awal pagi.

“Susulan penahanan suspek, pihak polis telah merampas seunit telefon bimbit, beberapa keping wang tunai, seunit topi keledar berwarna putih, dua botol arak jenama Royol Likeur dan R&B serta sehelai jaket berwarna hitam.

“Hasil siasatan awal mendapati rampasan terhadap minuman arak tersebut adalah bertepatan dengan barangan yang dibawa lari dalam kejadian samun pagi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahsmon berkata, salah seorang daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau kes curi dan narkotik.

“Ujian air kencing turut mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan kini ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Beliau berkata, polis kini giat mengesan seorang lagi rakan sejenayah yang masih bebas.

“Orang awam dialu-alukan untuk memberi maklumat bagi membantu mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas,” tambahnya.

Suara Sarawak