Serbuan kedua dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD di sebuah rumah di Kampung Tarat Mawang telah sembilan paket plastik lutsinar dan 22 tiub straw lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine.

SERIAN: Dua lelaki ditangkap kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan menerusi serbuan berasingan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Serian Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, operasi dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian kira-kira jam 7.30 pagi telah menahan seorang suspek berumur 29 tahun dalam sebuah bilik di sebuah rumah di Kampung Tarat Melawi.

Katanya, pemeriksaan yang dijalankan terhadap suspek dan lokasi berkenaan telah menemui tiga paket plastik lutsinar masing-masing berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah methamphetamine seberat 2.47 gram yang disembunyikan oleh suspek.

Manakala serbuan kedua, beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang suspek, 20, di sebuah rumah di Kampung Tarat Mawang.

“Semasa serbuan, pihak polis bertindak dengan memecahkan pintu bilik suspek kerana enggan membuka pintu.

“Sebaik sahaja pintu dipecahkan, pihak polis menjalankan pemeriksaan ke atas suspek serta lokasi dan menjumpai sembilan paket plastik lutsinar dan 22 tiub straw lutsinar pelbagai saiz masing-masing berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 10.37 gram,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aswandy berkata, kedua-dua suspek telah dibawa ke IPD Serian untuk ujian saringan awal air kencing dan didapati positif dadah amphetamine dan methamphetamine.

RAMPAS…Tiga paket mengandungi dadah jenis methamphetamine dirampas daripada suspek ketika serbuan di Kampung Tarat Melawi.

Beliau berkata, kesemua dadah yang dirampas dianggarkan seberat 12.84 gram.

“Nilai keseluruhan rampasan bernilai RM1,200 dalam harga pasaran tempatan dan dipercayai untuk diedarkan kepada penagih-penagih di kawasan Daerah Serian dan kampung-kampung berdekatan,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya akan sentiasa melancarkan operasi secara berterusan di masa hadapan bagi mengekang kegiatan pengedaran dan juga penagihan dadah di kawasan Daerah Serian terutama nya dikawasan kampung kampung.

Tambahnya,masyarakat diminta agar sentiasa peka kepada masalah penyalahgunaan dadah di dalam kampung dan sentiasa menyalurkan maklumat yang berkaitan dengan kegiatan pengedaran dan penagihan dadah kepada pihak polis.

Suara Sarawak