PADAWAN: Dua maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Batu Kawah – Bau, kira-kira jam 8.25 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata mangsa yang meninggal dunia adalah dua lelaki berusia 29 dan 37 tahun, yang menaiki sebuah Perodua Axia.

Katanya kejadian berlaku apabila kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa dari arah Batu Kawah menghala ke Bau berhenti secara mengejut lalu dilanggar dari belakang oleh sebuah MPV.

“Akibat perlanggaran itu, kereta mangsa masuk ke laluan bertentangan lalu dilanggar oleh sebuah van.

“Kedua-dua mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menambah mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik HUS untuk tindakan lanjut.

Manakala, Alexson berkata pemandu MPV terbabit, yang merupakan seorang guru wanita berusia 42 tahun dan pemandu van, lelaki berusia 36 tahun hanya mengalami kecederaan ringan di tangan dan kaki.

Katanya kejadian berlaku dalam keadaan cuaca cerah, dengan kawasan kemalangan di jalan yang masih dalam pembaikan.

Beliau berkata kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Suara Sarawak