SARIKEI: Polis menahan dua lelaki yang dipercayai aktif melakukan kegiatan mencuri dan pecah rumah di sekitar bandar ini.

Kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan dalam satu operasi pada 8 dan 17 Mac lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sarikei, Deputi Superintenden Polis (DSP) Benedict Faris Jimoy berkata, hasil siasatan Bahagian Siasatan Jenayah, polis berjaya menemui semula sebanyak 14 barangan dipercayai hasil daripada kegiatan berkenaan.

“Antaranya ialah sebuah kereta, sebuah motosikal, seunit penghawa dingin, pemegang lipat aluminium, lima tin cat, batang berus cat, satu gulung penyambung wayar dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kedua-dua suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes pecah rumah, kes curi dan dadah.

Suara Sarawak