Tertuduh merupakan warga Vietnam dibawa keluar mahkamah oleh anggota polis

KUCHING: Seorang wanita warga Vietnam dijatuhi hukuman denda RM3,300 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana terlibat dalam aktiviti pelacuran di sebuah pusat urut.

Tertuduh Nguyen Thi Van, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372B kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan terbabit di sebuah pusat urut di Jalan Setia Raja di sini, kira-kira jam 3.30 petang, 17 Februari lepas.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Hisyam Junaidi.

Sementara itu, seorang lagi wanita warga Indonesia dijatuhi hukuman denda RM2,400 atau penjara empat bulan, atas kesalahan terlibat dalam aktiviti pelacuran.

Majistret Zaiton Anuar menjatuhkan hukuman terhadap Marina Yati, 48, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 372B kanun Keseksaan kerana terlibat dengan aktiviti pelacuran di sebuah pusat urut di Jalan Tapang, sekitar jam 3.30 petang, 27 Februari lepas.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak