Empat lokasi bazar Ramadan di Miri

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) bakal menganjurkan Bazar Ramadan Miri 2022 di empat lokasi berbeza, pada tahun ini.

Menurut MBM, ia akan diadakan bermula 3 April sehingga 2 Mei 2022 dengan sejumlah 230 gerai pelbagai kategori akan menyertai.

“Daripada jumlah tersebut sebanyak 150 lot gerai akan ditempatkan di Padang MBM Jalan Padang, 20 gerai di tempat letak kereta Bazar Lutong, 20 gerai lagi di Tamu Desa Pujut 2 dan 40 gerai di Taman Tunku di Pusat Rumah Kedai Taman Jelita,” kata MBM dalam kenyataan.

Dalam pada itu, MBM menegaskan semua pengusaha gerai dan orang ramai yang mengunjungi Bazar Ramadan mesti mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

Sementara itu, borang permohonan boleh didapati di Pejabat Bahagian Kesihatan Awam di UTC Miri, Jalan Raja bermula dari 15 hingga 25 Mac 2022.

“Borang permohonan yang telah diisi beserta resit pembayaran yuran permit dan deposit pembersihan hendaklah diserah dan didaftarkan dengan Bahagian Kesihatan Awam Majlis sebelum 25 Mac 2022.

“Manakala, taklimat kepada pemohon yang berjaya dan membuang undi untuk kategori berbeza akan dijalankan pada 28 dan 29 Mac 2022,” ujar kenyataan itu lagi.

Suara Sarawak