Kesemua suspek (tengah) berjaya ditahan dalam Op Pintu pada petang semalam.

MIRI: Tiga warga Indonesia adalah antara empat lelaki pendatang asing tanpa izin (Pati) yang berjaya diberkas petang semalam kerana disyaki terlibat dalam kejadian pecah rumah di Jalan Kampung Luak, di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Hakemal Hawari, suspek berumur 32 hingga 52 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Riam, kurang 24 jam selepas melakukan jenayah tersebut.

Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 pagi apabila keempat-empat suspek datang dan memecah masuk ke dalam rumah berkenaan.

“Mereka melarikan diri dari tempat kejadian menggunakan sebuah Toyota Alphard berwarna hitam dengan semua barang rompakan,” katanya.

Beliau berkata, suspek melarikan beberapa barangan elektronik, beberapa botol minuman keras dan peti simpanan yang mengandungi wang tunai RM3,000.

Katanya, kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang membawa kepada penahanan suspek.

“Sepasukan anggota Siasatan Jenayah (JSJ) Miri turut menemui peti simpanan yang didakwa dibuang oleh suspek di tepi jalan Miri-Bintulu ketika kejadian,” jelasnya.

Katanya, kesemua suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri dan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Suara Sarawak