KUCHING: Pelumba berbasikal muda kelahiran Sarawak, Mohammad Faisal Izuddin Ahmad Joyo bersedia menjalin kerjasama dengan mana-mana penaja selepas terpilih mengikuti Jelajah Eropah kelima musim tahun 2021.

Atlet berusia 20 tahun itu percaya kejayaan yang dikecapinya sebelum ini sebagai pelumba kategori elit bawah 23 tahun mampu menjadi penanda aras kepada jenama yang digunakan sepanjang menyertai sebarang kejohanan sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

POTENSI… Mohammad Faisal Izuddin Ahmad Joyo berpotensi sebagai pelapis atlet negara berdasarkan rekod kejayaan yang telah dikecapi selama menceburi sukan lumba basikal.

“Sukan ini telah menjadi salah satu kehidupan seharian saya dan saya amat berbesar hati untuk mencapai pencapaian yang lebih besar.

“Namun untuk sampai ke tahap itu saya tidak dapat bersendirian,” tulisnya dalam rumusan biografi miliknya.

Faisal yang kini mewakili Terengganu merupakan atlet kebangsaan Berbasikal Junior Malaysia dan mewakili Kelab willebrord Wil Vooruit, iaitu pasukan dari Belanda.

Antara kejayaan dikecapi Faisal adalah menyandang tempat ketiga dalam kejohanan Nasional Malaysia 2021 bawah 23 tahun, naib johan (peringkat 2, peringkat 3, GC) dan juara dalam klasifikasi kelajuan Kejohanan Jelajah Negeri Sembilan 2021.

Atlet muda itu turut berjaya menempa nama di Jelajah Eropah 2019 dalam kategori Meer-Hoogstraten Junior selaku juara.

Suara Sarawak