Faris juara Kejohanan Kebangsaan Mountain Bike 2022
JUARA… Faris (tengah) menerima pingat kemenangan bersama Ameer (kiri) sebagai naib juara dan Yohannes (kanan) di tempat ketiga

KUCHING: Pelumba dari Pasukan Berbasikal Sarawak, Mohamad Faris Mohd Nashari muncul juara pada acara ‘DownHill’ yang berlangsung dalam kejohanan Kebangsaan Mountain Bike 2022 di Taman Cabaran Putrajaya, semalam.

Beliau mencatat masa 1 jam 47 minit 398 saat di hadapan pesaing utamanya, Ameer Akbar Anuar dari Terengganu yang mencatat masa kayuhan iaitu 1 jam 47 minit 591 saat.

Manakala tempat ketiga turut dirangkul wakil Pasukan Berbasikal Sarawak, Yohannes Lorenza Meahean dengan catatan masa 1 jam 53 minit 806 saat.

Perbadanan Berbasikal Sarawak menerusi satu kenyataan memberitahu, kejayaan pasukan Sarawak dalam kategori “downhill” merupakan pencapaian membanggakan.

Sekali gus berharap agar atlet meneruskan momentum tersebut menjelang aksi Sukan Malaysia (SUKMA) Kuala Lumpur kelak.

“Sebagai Atlet yang telah memenangi acara “downhill” peringkat kebangsaan Mohamad Farish sepatutnya mewakili Malaysia dalam Sukan SEA ini.

“SCA mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dalam memberi sokongan sentiasa kepada pasukan termasuk pihak dan agensi pemyumbang.

“SCA percaya program berterusan di bawah Pasukan Berbasikal Sarawak akan dapat meningkatkan usaha dan pencapaian atlet dalam mana-mana kejohanan,” ujar kenyataan tersebut.

Pasukan Berbasikal Sarawak dalam temasya Kejohanan Kebangsaan Mountain Bike terdiri daripada barisan jurulatih Muhammad Aim Mohamad Fauzi, Awg Adib Awg Sufian dan Rosnina Minggu.

Suara Sarawak