MIRI: Dua bot tunda bersama dua tongkang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri kerana gagal mengemukan dokumen berkaitan ketika diperiksa semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri Kapten Maritim Mohd Shafie Paing berkata kesemua bot tunda dan tongkang berkenaan ditahan pada jarak lebih kurang 3.6 batu nautika Barat Tanjung Lobang, di sini kira-kira jam 8.30 malam.

“Bot tunda pertama beserta tongkang dikendalikan empat kru termasuk nakhoda warga tempatan yang kesemuanya berumur dalam lingkungan 24 hingga 67 tahun.

“Manakala bot tunda kedua berserta tongkang pula dikendalikan tujuh kru termasuk nakhoda yang terdiri daripada lima warga tempatan, seorang warga Indonesia dan seorang warga Myanmar, berumur dalam lingkungan 24 hingga 56 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua bot tunda dan tongkang ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952/60 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen.

Sementara, Maritim Malaysia akan terus komited dalam melaksanakan rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mencegah pelanggaran undang-undang, penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku diperairan Zon Maritim Malaysia.

Sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang salah laku dilaut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085 418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082 432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

Bot tunda berserta tongkang ditahan pada jarak lebih kurang 3.6 batu nautika Barat Tanjung Lobang, Miri oleh Maritim Malaysia Zon Maritim Miri.

 

Kru dan Nakhoda yang mengendalikan bot tunda dan tongkang ditahan Maritim Malaysia Zon Maritim Miri.

Suara Sarawak