Rampasan rokok putih disyaki belum lulus kastam dalam sebuah kontena di Pelabuhan Bintulu pada 14 Mac lalu.

BINTULU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menggagalkan cubaan menyeludup 7,920,000 batang rokok disyaki belum lulus cukai kastam di Pelabuhan Bintulu, di sini pada 14 Mac lalu.

Rampasan dibuat dalam operasi khas yang dilakukan cawangan penguat kuasa JKDM Bintulu, kira- kira jam 7.45 malam.

Pengarah Kastam Sarawak, Mohd Nadzri Ariffin dalam kenyataan berkata rokok terbabit ditemui dalam sebuah kontena di sebuah kapal asing yang berlabuh di Pelabuhan Bintulu.

Katanya, kontena tersebut tiba di Pelabuhan Bintulu dari China melalui transhipment dari Vietnam.

“Pemeriksaan ke atas kontena tersebut telah menemui sebanyak 7,920,000 batang rokok dengan anggaran nilai RM1,425,600 yang melibatkan anggaran cukai sebanyak RM5,369,760.

“Barang kes telah diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurut beliau lagi, pemeriksaan awal mendapati kesemua rokok tersebut belum lulus kastam kerana tidak mempunyai setem cukai kastam serta dokumen yang sah.

“Modus operasi menyeludup masuk barangan belum lulus kastam dengan membuat pengikraran palsu melalui Daftar Muatan Pemindahan dari Pelabuhan Ho Chi Minh, Vietnam ke Pelabuhan Bintulu,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, ataupun penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, berdasarkan statistik tangkapan sepanjang tahun 2021, JKDM Sarawak telah merampas sebanyak 30,556,012 batang rokok dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM2,114,512.32 melibatkan anggaran cukai sebanyak RM16,824,847.14.

Orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

Rampasan rokok putih disyaki belum lulus kastam dalam sebuah kontena di Pelabuhan Bintulu pada 14 Mac lalu.

Suara Sarawak