KUCHING: Kumpulan Geng Kong yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah kedai akhirnya tumpas selepas dicekup pasukan khas Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching.

Mereka yang ditahan termasuk seorang remaja berusia 15 tahun dan tiga suspek lelaki.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, kumpulan yang dikesan aktif bermula Disember 2021 itu dipercayai melakukan kegiatan tersebut sekitar jam 2 hingga 5 pagi dengan menyasarkan premis-premis kedai 24 jam.

“Modus operandi kumpulan ini adalah menggunakan motosikal sama namun warna dan nombor pendaftaran akan diubah bagi memastikan kegiatan mereka tidak dapat dikesan oleh pihak polis.

“Remaja 15 tahun itu akan bertindak sebagai penjaga kawasan (premis untuk dipecah masuk) sebelum memberi isyarat kepada ahli kumpulan yang lain untuk datang melakukan pecah kedai.

“Kesemua suspek yang ditahan masing-masing berusia 15, 20, dan 21 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Siasatan Jenayah IPD Kuching, hari ini, sambil mendedahkan kesemua tangkapan dilakukan pada 2 March lalu.

Menurutnya, turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 63 tahun iaitu pemilik sebuah bengkel haram dipercayai salah seorang anggota kumpulan yang menjadikan bengkel tersebut sebagai tempat penyimpanan barangan curi dan mengubah suai kenderaan.

Tambahnya, dengan tertumpasnya Geng Kong itu, polis percaya pihaknya berjaya menyelesaikan sekitara 20 kes pecah kedai di sekitar Kuching, iaitu 13 daripadanya telah selesai siasatan lengkap manakala selebihnya masih dalam siasatan.

Tegasnya, kesemua suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan selama empat hari,

Kes disiasat di bawah Seksyen 39(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 457 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan kakisan, letupan, dan senjata berbahaya.

Suara Sarawak