Datuk Sri Fatimah Abdullah mewakili Premier Sarawak merasmikan Sambutan Hari Wanita Peringkat Sarawak 2022 di Miri, hari ini.

MIRI: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) komited untuk memperkasakan kepimpinan wanita terutama dalam sektor awam dan korporat, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, usaha tersebut adalah berterusan bagi membolehkan kaum wanita ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’ dengan kaum lelaki seperti yang dijanjikan dalam Manifesto GPS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12.

“Sebagai Ketua Kerajaan GPS, saya ingin menegaskan bahawa kita sentiasa berpegang kepada prinsip pemerkasaan wanita kerana mereka merupakan salah satu tonggak penting merangkumi segala aspek pembangunan negeri dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Perasmian Sambutan Hari Wanita Sarawak 2022 yang dibacakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Sri Fatimah Abdullah di sini, hari ini.

Tegasnya, janji dalam manifesto tersebut bukanlah kenyataan yang tidak berasas kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini banyak inisiatif yang telah dilaksanakan kerajaan melalui Kementerian KPWK.

“Apa sahaja rintangan haruslah diketepikan supaya tidak akan menghambat kemajuan kaum wanita dalam pelbagai bidang, kerana pada zaman ini kaum lelaki dan wanita adalah rakan kongsi setara,” tegasnya.

Tema Sambutan Hari Wanita 2022 ‘saksama bersama’ membawa pengertian bahawa seharusnya tiada jurang antara peranan lelaki dan wanita dalm membangunkan masyarakat dan negara.

Suara Sarawak