KUCHING: Menjadikan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) sebagai hab sukan elektronik (e-sukan) terkenal merupakan rancangan besar universiti tersebut pada masa hadapan. Naib Canselor UTS Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid berkata, untuk mencapai sasaran tersebut pihaknya akan memperkenal satu program baharu yang dipanggil pembangunan permainan mudah alih.

“Rancangan besar ialah memperkenalkan program akademik baharu yang relevan dengan keperluan industri di Sarawak dan selaras dengan trend generasi masa kini yang dikehendaki revolusi industri 4.0. “Ini kerana kita mahu melihat e-sukan menjadi satu industri dengan sendirinya iaitu bukan sahaja bermain permainan, tetapi juga boleh membangunkan permainan menggunakan peranti mudah alih,” katanya pada sesi temu bual khas bersama Suara Sarawak.

Menurutnya, jika diluluskan pihaknya berharap untuk menawarkan program tersebut pada September ini sekali gus menjadi yang pertama seumpamanya di Malaysia.  “Jadi, kita menawarkan program yang bukan sekadar biasa tetapi melihat masa depan selaras dengan agenda negeri dan juga negara.

“Ia salah satu rancangan besar UTS selain menyasarkan kemasukan 4,000 pelajar menjelang 2024 dengan setakat ini kita mempunyai hampir 2,000 orang,” ujarnya yang yakin sasaran itu mampu  dicapai dengan sokongan padu Kerajaan Sarawak dan ibu bapa.

Mengulas lanjut, pihaknya turut merancang menambah baik pelbagai kemudahan infrastruktur yang kondusif dan selamat dengan persekitaran gaya hidup kampus kerana percaya ia merupakan rumah kedua golongan pelajar.  “UTS sangat bertuah kerana Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan untuk pelbagai kemudahan baharu seperti asrama, kompleks sukan, blok akademi baharu, dewan besar dan sebagainya yang menjadikan universiti ini mercu tanda bandar Sibu.

“Dalam masa yang sama kami merancang untuk membina kawasan komersial kecil di kampus supaya kakitangan, pelajar serta orang ramai dapat menikmati kemudahan perniagaan yang disediakan,” katanya. Tambah Dr Khairuddin, UTS juga sedang berbincang dengan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat untuk membina taman teknologi dalam kampus dengan menarik pemain industri menjalankan penyelidikan, latihan atau perniagaan prototaip.

“Dan terakhir untuk mengubah UTS sebagai kampus pintar dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sibu serta agensi berkaitan seterusnya menjadikan Sibu bandar raya pintar seperti Kuching sekali gus mencapai status bandar raya,” jelasnya. Mengenai cabaran pengurusan UTS, katanya, cabaran utama adalah ia merupakan universiti serba baharu yang mempunyai cabaran melatih tenaga kerja muda dan kurang berpengalaman.

“Mereka belum faham sepenuhnya bagaimana sesebuah universiti beroperasi. “Tetapi saya sangat bertuah kerana mereka sangat komited, rajin dan bekerjasama sebagai satu pasukan.  “Selain itu, kita terletak di Sibu yang merupakan bandar kecil dan tidak ramai tahu lokasi kita. “Jadi sebelum mempromosikan UTS, kita perlu mempromosikan Sibu dahulu dan kini secara beransur-ansur kita menerima kemasukan pelajar dari Semenanjung Malaysia dan kakitangan antarabangsa,” katanya.

Ujar Dr Khairuddin, dalam tempoh sembilan tahun beroperasi, UTS telah berjaya memperoleh banyak anugerah termasuk dari sudut penyelidikan, geran serta kerjasama dengan universiti terkemuka dunia seperti China, UK dan Australia.

Suara Sarawak