Hampir 1,000 kanak-kanak tanpa dokumen dinafikan akses kepada pendidikan – Suhakam

SIBU: Hampir 1,000  kanak-kanak di Sarawak dinafikan akses kepada pendidikan kerana masalah dokumentasi, menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph berkata angka yang disediakan oleh Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) itu adalah daripada kes berlaku di kawasan bandar dan luar bandar.

Joseph dalam sidang media dijalankan secara bersemuka dan maya sempena lawatan kerja Suhakam berkata angka berkenaan adalah anggaran daripada kes terkumpul dijalankan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh Sarawak.

Kanak-kanak tanpa dokumen adalah satu daripada tiga isu yang menjadi perhatian utama Suhakam di Sarawak, dengan dua lagi adalah tanah hak adat bumiputera dan penggunaan ‘bin’ dan ‘binti’ oleh bukan Islam.

“Isu ini berkaitan dengan pendidikan kerana tanpa dokumen kanak-kanak terbabit tidak boleh mendaftar persekolahan,” kata Datuk Dr Madeline Berma sambil menambah ada dalam kalangan dewasa juga tidak memiliki dokumen.

Beliau berkata isu tanah hak ada bumiputera (NRC) yang rumit banyak dilaporkan selain isu bukan Islam yang menggunakan ‘bin’ dan ‘binti’ secara automatik dinyatakan sebagai orang Islam dalam MyKad sedangkan mereka tidak mengamalkan agama berkenaan.

Ditanya mengenai usaha dilakukan mengenai pendidikan kanak-kanak tanpa dokumen memandangkan ia bukan isu baharu, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata sebagai penyelesaian sementara, suruhanjaya menulis surat kepada Kementerian Pendidikan bagi membolehkan kanak-kanak terbabit hadir ke sekolah.

“Kita tahu kedua-dua ibu bapa mereka atau seorang daripadanya adalah rakyat Malaysia dan sebagai warganegara, anak-anak mereka berhak mendapat akses kepada pendidikan di semua sekolah di Malaysia,” katanya dan menambah Suhakam juga akan menghubungi jabatan pendidikan negeri dan sekolah jika mereka enggan menerima kanak-kanak berkenaan.

Sementara itu, Datuk Mah Weng Kwai mencadangkan sudah sampai masanya untuk mewujudkan mahkamah khusus bagi menangani kes tanah NCR yang tertunggak sama seperti mahkamah khas mengendalikan jenayah seksual kanak-kanak dan alam sekitar di Semenanjung Malaysia.

“Saya rasa masalah atau isu NCR menjamin mahkamah yang berdedikasi untuk menangani kes tertunggak. Banyak keputusan dibuat di mahkamah rayuan dan mahkamah persekutuan, mungkin sudah tiba pada masanya untuk mempunyai undang-undang khusus untuk menangani keadaan yang berlaku,” katanya.  — BERNAMA

Suara Sarawak