Abang Johari dalam rakaman video sempena Hari Hidupan Liar Sedunia di Facebook Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), hari ini.

KUCHING: Kerajaan Sarawak amat menitik berat kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan hidupan liar di negeri ini, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, kerajaan negeri menyediakan pelbagai kawasan antaranya taman negara, hutan simpan semula jadi dan santuari hidupan liar yang dikenali Kawasan Lindungan Sepenuhnya (TPA) untuk melindungi hidupan liar terutamanya spesis terancam.

“Santuari Hidupan Liar Lanjak Entimau dan Taman Negara Batang Ai merupakan antara contoh kawasan yang dibangunkan untuk pemeliharaan orang utan di Sarawak.

“Manakala Taman Negara Laconia Shoals di Miri yang berkeluasan 1.2 juta hektar pula menempatkan pelbagai hidupan laut seperti paus, jerung dan terumbu karang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam rakaman video sempena Hari Hidupan Liar Sedunia di Facebook Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), hari ini.

Hari Hidupan Liar Sedunia disambut pada 3 Mac setiap tahun, bertemakan Pemulihan Spesies Utama untuk Pemuliharaan Ekosistem, sambutan pada tahun ini memberi tumpuan ke atas beberapa spesies paling terancam.

Suara Sarawak