KUCHING: Universiti Teknologi Swinburne (Swinburne) Kampus Sarawak bakal mengadakan Hari Terbuka pada 26 Mac dan 2 April, tahun ini.

Menerusi kenyataan, Swinburne berkata ia bertujuan membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat secara langsung mengenai pendidikan, bantuan kewangan, kemudahan dan lain-lain yang disediakan oleh pihaknya.

“Hari terbuka tersebut akan diadakan di Kampus Swinburne Sarawak, Jalan Simpang Tiga bermula jam 10 pagi hingga 4 petang pada kedua-dua tarikh dinyatakan di atas.

“Ia terbuka kepada orang ramai dengan menyasarkan golongan lepasan Sijil Pendidikan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM), Peringkat-O, Peringkat-A dan UEC yang mencari pendidikan tinggi Australia mampu milik serta lebih dekat dengan kediaman,” kata kenyataan itu, hari ini.


LAWAT….Orang ramai digalakkan mengunjungi Universiti Teknologi Swinburne untuk bertemu secara langsung dengan kakitangan universiti.

Kenyataan itu turut memberitahu, hari terbuka tersebut memberi peluang untuk orang ramai bertemu secara langsung dengan kakitangan akademik universiti dari Fakulti Kejuruteraan, Pengkomputeran dan Sains; Fakulti Perniagaan, Reka Bentuk dan Seni; dan Pusat Pengajian Asasi serta banyak lagi kursus yang ditawarkan.

“Para pengunjung juga boleh berbual dengan kaunselor pendidikan untuk mengetahui lebih lanjut tentang kursus, bantuan kewangan dan biasiswa,” ujarnya.

Jelas kenyataan itu lagi, kaunseling bantuan kewangan oleh Yayasan Sarawak serta sesi perkongsian mengenai kurusus yang ditawarkan juga akan diadakan.

Tambahnya, antara acara utama pada hari terbabit ialah lawatan berpandu ke kampus untuk orang ramai melihat pengubahsuaian yang sedang dilaksanakan di sekitar kampus.

Suara Sarawak