KUCHING: Beberapa lokasi perniagaan dan kemudahan awam bawah seliaan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan menyertai Kempen Earth Hour 2022 pada Sabtu ini.

Kempen menyokong usaha ke arah kelestarian alam sekitar itu akan bermula pada jam 8.30 hingga 9.30 malam dengan memadamkan lampu di semua kawasan terlibat.

Menurut Datuk Bandar MBKS Datuk Wee Hong Seng, pihaknya akan memadamkan lampu elektrik di pejabat, taman dan kemudahan awam bawah seliaannya selama sejam untuk menunjukkan sokongan terhadap usaha tersebut.

“Ia termasuk pejabat MBKS, Taman Kuching, Dewan Masyarakat Padungan, Pusat Penjaja Song Kheng Hai dan Pasar Komuniti Stutong

“Sektor swasta seperti hotel dan pusat beli-belah merangkumi kawasan komersial Saradise, Hotel Pullman, Hotel Penview, Hotel Kuching Park, Kingwood Inn, City One, Vivacity dan Aeon Mall juga akan turut serta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut mengalu-alukan penyertaan orang ramai dalam gerakan tersebut bagi membantu memperkasakan misi meningkatkan kesedaran untuk melindungi alam semula jadi, menangani krisis iklim dan membentuk masa depan yang lebih cerah.

Earth Hour merupakan acara tahunan yang diadakan oleh Tabung Alam Sedunia (WWF), disambut pada hari Sabtu terakhir pada bulan Mac dengan mematikan lampu serta peralatan elektrik yang tidak digunakan selama satu jam untuk membangkitkan kesedaran ke atas perubahan iklim.

Suara Sarawak