KUCHING: Seorang ibu dan anak lelaki berusia 12 tahun maut dalam kemalangan di Jalan Kuching-Serian sekitar jam 6.30 petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kejadian berlaku setelah kereta dinaiki mangsa bertembung dengan sebuah trak pikap di KM55.

“Ibunya, 47, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dan dalaman.

“Manakala, anaknya dikejarkan ke Hospital Serian dengan kecederaan di kepala dan bahagian badan sebelum disahkan meninggal dunia seketika kemudian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Serian menuju ke Kuching ketika kejadian.

“Pemandu dipercayai hilang kawalan ke atas kereta yang dipandu di salah satu selekoh lalu terkeluar dari laluan dan bertembung dengan trak pikap yang datang dari arah bertentangan.

“Kedua-dua ibu dan anak lelaki itu tersepit di dalam kenderaan dan dikeluarkan oleh pihak bomba,” kata Alexson.

Sementara, pemandu trak tersebut, lelaki berusia 42 tahun mengalami kecederaan di leher dan kepala manakala isterinya, 39, dan anak lelakinya, 10, mengalami cedera ringan.

Ketiga-tiga mangsa turut dihantar ke Hospital Serian untuk rawatan perubatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suara Sarawak