Ibu tunggal rosakkan harta benda didenda

KUCHING: Seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau 10 hari penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana merosakkan harta benda milik seorang penyewa bilik hingga menyebabkan kerugian RM200, pada November tahun lalu.

Tertuduh Siti Khatijah Affandi, 37, didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Mengikut pertuduhan, dia telah merosakkan harta benda seperti memecahkan pinggan dan gelas kaca milik Dyg Sabtuyah Awg Ali.

Dia melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Kampung Boyan, Petra Jaya, kira-kira jam 6.06 pagi, 8 November 2021.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, tertuduh telah mengamuk dan bertindak agresif memecahkan pinggan dan gelas kaca milik pengadu.

Selain itu, tertuduh juga telah menyelerakkan barang-barang di dalam rumah dengan membuang serpihan sisa kaca di celah lantai papan sehingga terjatuh ke atas tilam pengadu yang merupakan penyewa tingkat bawah.

Tumpahan kicap dan air milo disebabkan tertuduh dari tingkat atas membuatkan bilik pengadu menjadi kotor.

Akibat perbuatan tertuduh itu, pengadu mengalami kerugian lebih kurang RM200.

Pengadu yang bimbang dengan keselamatan diri kemudian membuat laporan polis, yang seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh sehari selepas kejadian.

Difahamkan, tertuduh yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Sebelum ini, tertuduh tidak mengaku bersalah telah direman selama empat bulan di penjara sehingga perbicaraan kes selesai hari ini.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak