Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan amanat sempena penutupan “Sarawak Women of Tomorrow Bootcamp” di sini hari ini. FOTO: Ukas

KUCHING: Sarawak tidak akan meletakkan had antara wanita dan lelaki dalam menerajui kepimpinan organisasi di negeri ini.

Sebaliknya, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kepimpinan wanita dan lelaki akan diletakkan setaraf, berdasarkan keupayaan mereka.

“Kenapa mengehadkan 30 peratus untuk wanita, kenapa tidak 50/50.

“Jika orang pandai tidak kira lelaki atau wanita, dia harus diletakkan di sana (pemimpin organisasi).

“Jadi tiada lagi berdasarkan agama dan jantina, itulah masa depan kerana landskap akan berubah,” katanya ketika menyampaikan amanat sempena penutupan “Sarawak Women of Tomorrow Bootcamp” di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan) Datuk Dr Sabariah Putit, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Huawei Malaysia Michael Yuan dan CEO Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Sharzede Salleh.

Menurut Abang Johari, keutamaan terhadap lelaki berbanding wanita untuk menerajui kepimpinan kini sudah tidak relevan.

Sebaliknya, beliau berkata apa yang penting sekarang ialah keupayaan seseorang untuk memimpin.

Suara Sarawak