: Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Sarawak (MCDF/APM) PPJ (PA) Mohtar Samat (kiri) melancarkan Hari Ulang Tahu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia ke-70 disaksikan Pegawai Angkatan Pertahanan Bahagian Kuching Kapt. (PA) Madihi Habib (kanan) dan Lt. Kol. (PA) Raja Muhammad Alhakim Raja Jaafar@Raja Yaakub (tengah). FOTO: RAMIDI SUBARI

KUCHING: Angkatan Pertahanan Awam (APM) akan memfokus kepada khidmat bantuan pendidikan masyarakat ketika fasa endemik bagi meningkatkan kesedaran untuk memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) sentiasa dipatuhi.

Pengarah APM Mohtar Samat berkata walaupun tugasan dalam situasi selepas endemik tidak sama seperti yang sebelumnya, masyarakat tetap perlu peka terhadap tanggungjawab sepanjang hidup dengan virus Covid-19.

“Kita tidak mahu masyarakat mengambil ringan isu Covid-19 walaupun sudah masuk ke fasa endemik,” katanya pada sidang media selepas Program Sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) Ke-70 di Pusat Pertahanan Awam Negeri Sarawak (PUSPA), di sini, hari ini.

Tambahnya, langkah tersebut penting bagi memastikan usaha untuk mengekang penularan wabak dapat diteruskan.

Beliau menambah APM juga komited turun ke akar umbi bagi berdepan dengan situasi bencana serta kecemasan dalam kalangan masyarakat, sesuai dengan penetapan tugas sebagai sekretariat pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah.

Sementara, pihak APM telah meraikan ulang tahun yang ke-70 sejak penubuhannya pada tahun 1952 bagi menghargai warga angkatan yang telah berbakti serta berjasa kepada negara, hari ini.

Seramai 1,178 orang berjaya dipilih untuk dianugerahkan bintang dan pingat kebesaran APM melalui penilaian calon di seluruh Malaysia.

Kata Mohtar, anugerah tersebut diberikan kepada penerima dengan keyakinan dapat meningkatkan prestasi dan boleh menjadi contoh kepada warga yang lain untuk lebih bersemangat untuk berkhidmat.

Suara Sarawak