Gambar hiasan

SEORANG rakyat Malaysia dianggarkan mengambil 1.6 sudu atau 7.9 gram (g) garam sehari iaitu melebihi lima gram sehari seperti disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pengambilan garam berlebihan ini bukan sahaja mengundang penyakit darah tinggi, malah turut menjadi penyumbang kepada serangan strok dan kegagalan buah pinggang.

Justeru sempena Minggu Kesedaran Garam Sedunia bermula 14 hingga 20 Mac ini, Timbalan Premier yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Sri Dr Sim Kui Hian (gambar) mengajak warga Sarawak mengubah tabiat pengambilan garam.

Adakah anda makan terlalu banyak garam?

Pengambilan garam yang berlebihan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi, masalah jantung dan strok.

“Sempena Minggu Kesedaran Garam Sedunia, mari fokus kepada gaya hidup sihat dengan mengubah tabiat pengambilan garam.

“Hadkan pengambilan garam kepada tidak lebih daripada lima gram atau satu sudu teh sehari,” katanya dalam catatan di media sosial, kelmarin.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menggesa orang ramai meningkatkan tahap kesihatan dengan mengubah tabiat pengambilan garam dalam pemakanan harian.

Menerusi Facebook rasmi KKM bersempena Minggu Kesedaran Garam Sedunia, KKM menyeru pengguna menghadkan pengambilan garam tidak melebihi lima gram atau satu sudu teh sehari.

KKM berkata, menurut kajian Malaysian Community Salt Study (MyCoSS) 2017/2018, tahap pengambilan garam dalam kalangan rakyat Malaysia adalah tinggi iaitu pada kadar purata 7.9 gram atau 1.6 sudu teh sehari, melebihi saranan lima gram sehari oleh WHO.

Pengambilan garam berlebihan boleh meningkatkan risiko penyakit hipertensi, yang jika tidak dikawal akan menyebabkan penyakit jantung serta penyakit angin ahmar atau strok.

Beberapa langkah mudah bagi mengurangkan pengambilan garam dalam pemakanan harian seperti mengenali nama lain bagi garam dalam makanan, seperti Sodium Nitrate, Sodium Bicarbonate dan Monosodium Glutamate.

Sebelum ini, Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr Noor Hisham memaklumkan pihaknya sedang melaksanakan Program Pengiodinan Garam Secara Universal yang berkuat kuasa di seluruh negara pada 1 Januari 2021.

Ia sebagai salah satu intervensi kesihatan awam bagi mencegah dan mengawal masalah kesihatan akibat kekurangan iodin (IDD) dalam kalangan masyarakat.

Suara Sarawak