KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak telah menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM40,610,150 untuk 51,038 orang penerima bantuan bulanan di seluruh Sarawak sejak dua bulan yang lepas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Mohamad Razi Sitam berkata, terdapat lapan jenis Skim Bantuan yang terlibat dalam perbelanjaan berkenaan bagi tempoh itu.

Bagi bantuan warga emas katanya, ia berjumlah RM19,194,000 melibatkan seramai 19,281 penerima; bantuan am berjumlah RM4,786,900 (10,407 penerima); elaun pekerja Orang Kelainan Upaya(OKU) berjumlah RM3,075,300 (3,434 penerima); bantuan penjagaan OKU RM1,983,500 (1,996 penerima); bantuan anak pelihara RM10,000 ( 14 penerima) dan empat orang penerima bantuan belia-beliawanis dengan jumlah RM1,600.

Timbalan Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Mohamad Razi Sitam ketika berucap dalam Program Satellite Office, Jejak Kenyalang Gold Card dan Perkhidmatan Kebajikan di sini, hari ini. Foto Alif Noni.

“Manakala, bagi Skim Bantuan Kanak-Kanak, sejumlah RM5,046,050 telah diterima dari Kerajaan Persekutuan dan ditambah oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM757,750 memanfaatkan seramai 7,626 orang penerima.

“Selain itu, Skim Bantuan OKU tidak berupaya bekerja juga menerima RM4,932,900 dari Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri juga telah menambah sebanyak RM822,150 untuk skim terbabit memanfaatkan seramai 8,276 penerima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Satellite Office, Jejak Kenyalang Gold Card dan Perkhidmatan Kebajikan di Pusat Beli Belah Eco, Petra Jaya, hari ini.

Tambah beliau, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching (PKMBK) juga telah menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM7,937,100 kepada 9,920 orang penerima bantuan bulanan.

Jelasnya, 19 peratus penerima daripada jumlah terbabit adalah daripada 51,038 penerima di seluruh negeri ini.

Hadir sama Pengarah JKM Sarawak Noriah Ahmad.

Suara Sarawak