KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mengisytiharkan satu kluster baharu hari ini iaitu Kluster DTI Semuja 3, Serian.

Katanya, kluster ini merupakan satu kluster yang dikesan melibatkan tahanan sebuah Depo Tahanan Imigresen Semuja dalam daerah Serian, Sarawak.

“Kes indek (kes-270274) bagi kluster ini merupakan seorang tahanan lelaki berusia 34 tahun, bukan warganegara yang dikesan positif COVID-19 pada 7 Mac lalu melalui saringan untuk menghadiri perbicaraan di mahkamah.

“Malah, perebakan jangkitan dipercayai berpunca dari pergaulan dan kontak rapat dalam kalangan tahanan dan kakitangan di dalam depo tahanan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tambahnya, daripada 295 orang jumlah individu yang disaring, 19 orang didapati positif termasuk kes indeks, 48 individu masih menunggu keputusan, manakala 228 individu didapati negatif serta 14 kes baharu dilaporkan hari ini.

Dalam pada itu, JPBN turut mendedahkan kadar jangkitan harian Covid-19 di Sarawak terus menunjukkan peningkatan apabila merekodkan sebanyak 1,963 kes, sekali gus menjadikan kes kumulatif meningkat kepada 274,105 kes.

Jelasnya, sebanyak 764 kes merupakan kategori 1, 1178 merupakan kategori 2, manakala 21 kes dikelaskan dalam kategori 3,4 dan 5.

“Daerah Kuching terus merekodkan kadar jangkitan harian tertinggi dengan 699 kes, diikuti Miri (303), Sibu (177), Bintulu (148), Serian (101), Samarahan (71), Sri Aman (53), Bau (52), Sarikei (48), Tanjung Manis (40), Lubok Antu (36), Limbang (26), Pakan, Dalat dan Daro (14) serta Mukah, Betong, Simunjan, Marudi, Saratok dan Kanowit (13).

“Sementara, Kabong dan Matu (12), Lawas (10), Pusa (9), Meradong (8), Subis (7), Kapit (6), Lundu (5), Beluru (4), Asajaya dan Julau (3), Sebauh, Tatau dan Telang Usan (2), manakala masing-masing mencatatkan satu kes di Belaga, Song, Tebedu dan Selangau,” katanya.

Dalam kenyataan sama, JPBN berkata sebanyak tujuh kompaun dikeluarkan di Kuching atas kesalahan gagal mendaftar masuk ke dalam premis melalui aplikasi MySejahtera.

Suara Sarawak