DCP Mancha Ata (tengah) memeriksa perbarisan sempena peringatan Hari Polis ke-215 peringkat Kontinjen Sarawak di IPK Sarawak, di sini hari ini.

KUCHING: Kadar jenayah indeks di Sarawak mencatatkan penurunan sebanyak 188 kes atau 19 peratus bagi tiga bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Datuk Mancha Ata berkata, umumnya keadaan jenayah di negeri ini berada pada tahap yang terkawal.

Katanya, dari 1 Januari sehingga 19 Mac, sebanyak 799 kes jenayah indeks dilaporkan berbanding 987 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Walaupun tempoh tiga bulan pada awal tahun ini menunjukkan penurunan, namun kita akan terus cuba mengurangkan indeks kes tersebut dengan pelbagai pelan dan operasi yang telah dirancang bagi mengawal jenayah-jenayah terus berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 di peringkat Kontinjen Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.

Mancha berkata, kes jenayah komersial menunjukkan trend peningkatan sebanyak 126 kes (27.4 peratus) iaitu 585 kes bagi tempoh 1 Januari hingga 20 Mac tahun ini berbanding 459 kes dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Katanya, sebanyak RM16.5 juta kerugian dilaporkan dalam tempoh yang sama, manakala sebanyak RM12.8 juta kerugian dilaporkan pada tahun lalu.

Jelasnya, kerugian membabitkan jenayah komersial di negeri ini meningkat sebanyak RM3.7 juta atau 28.90 peratus.

Suara Sarawak