KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa untuk membuat kajian terperinci sebelum memperkenalkan Rang Undang-undang (RUU) larangan merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik (vape) terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Hamzah menegaskan perkara itu bagi mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang memaklumkan RUU berkenaan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Julai ini dan sedang dimuktamadkan oleh Peguam Negara.

Menurutnya, perkara tersebut tidak boleh dilakukan dengan terburu-buru dan memerlukan satu kajian terperinci.

“KKM boleh mendapatkan pandangan daripada masyarakat, badan-badan agama dan sebagainya sebelum membuat keputusan berhubung isu tersebut.

“Ia juga penting bagi mengelakkan kekeliruan timbul dalam kalangan masyarakat tentang kumpulan yang dibenarkan merokok dan tidak atau dasar mana yang akan mereka ikut nanti,” katanya.

Abdul Karim berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Meow City Bundle Fest’ 01 di pekarangan tempat letak kereta Mydin Samariang, di sini, hari ini.

Tambahnya, pengeluaran rokok merupakan salah satu daripada industri perniagaan dan kadang-kadang kebimbangan akan timbul berhubung dengan dasar sedemikian lebih-lebih lagi sekiranya berlaku pertukaran Menteri Kesihatan kelak.

“Kita sedia maklum bahawa tabiat merokok ini sudah lama dipraktikkan dalam kalangan masyarakat, sepatutnya kita perlu mendidik (memberikan kesedaran) tentang larangan merokok ini bahkan ibu bapa juga boleh mendidik anak-anak sejak dari kecil.

“Ketika ini, jika undang-undang itu dibentangkan ia mungkin boleh menyebabkan kekeliruan dan banyak persoalan juga timbul kerana ada bahan-bahan lain yang diharamkan oleh agama Islam seperti arak, agama Kristian tetapi masih boleh dijual dipasaran,” ujarnya.

Suara Sarawak